Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) kini melancarkan MySukarela, sebuah aplikasi pertama di Malaysia yang dikhaskan untuk kerja-kerja sukarelawan di seluruh negara. Menerusinya, orang ramai boleh mendaftar sebagai sukarelawan dengan memadankan mereka berdasarkan keperluan NGO, perusahan atau acara tertentu.

MySukarela telah dibina ekoran daripada kejayaan program MyVAC pada bulan Mac lalu di mana PBSM bekerjasama dengan beberapa badan kementerian yang sekaligus berjaya mengumpulkan 320,000 sukarelawan bagi melancarkan proses vaksinasi di pusat vaksinasi di seluruh negara.

Sumber Gambar: Facebook Malaysia Red Crescent

Untuk mereka yang berminat, anda perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu menerusi aplikasi MySukarela yang ditawarkan secara percuma di Google Play Store dan Apps Store pada hari ini. Selain mendaftar, anda juga boleh mengetahui maklumat tentang sebarang aktiviti kebajikan yang memerlukan bantuan tenaga di tempat yang ditetapkan.

Aktiviti-aktiviti ini boleh dicari melalui lokasi, tarikh dan ketersediaan bagi menyertainya. Bahkan, para sukarelawan juga boleh menerima sijil atau bayaran sekiranya ia disediakan oleh pihak penganjur bagi aktiviti yang diadakan.

Sumber Gambar: Aplikasi MySukarela

Untuk para penganjur aktiviti pula, mereka boleh mengiklankan aktiviti yang memerlukan sukarelawan dalam MySukarela dan berhubung bersama para sukarelawan yang diperlukan, menyediakan latihan asas berasaskan video dan sebagainya. Para pengguna MySukarela turut boleh menghulurkan derma kepada NGO yang dipercayai secara terus dengan selamat.

PBSM juga menyatakan akan berkerjasama dengan AirAsia Academy dan Yayasan Malaysian Humanitarian Coordination & Action Hub bagi menarik lebih ramai sukarelawan untuk berdaftar dan juga menyediakan latihan sebelum menyertai sebarang aktiviti kebajikan.

Sumber Gambar: AirAsia News

Dengan kehadiran aplikasi sukarelawan ini ramai orang berpeluang memberikan bantuan yang sewajarnya secara terus dan mengetahui sebarang aktiviti yang dianjurkan dengan mudah. Bahkan, anda juga berpeluang menambah kenalan baharu dengan menyertai aktiviti sebegini.

Sementara itu, anda juga boleh menyumbangkan bantuan bahan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan di sekitar kawasan menerusi tiga laman web ini.

3 Laman Web Untuk Mudahkan Pengguna Mencari Bendera Putih Dan ‘Food Bank’ Di Kawasan Sekitar

Aplikasi Kita Jaga Memerlukan Dana Sebanyak RM200,000 Untuk Menampung Kos Operasi Yang Tinggi

Sumber